TEL: 016-5583644

Mon - Fri : 9:00 - 17:00 Sat - Sun : Tutup

Harga kontrak rendah punca pekerja teraniaya

KEBAJIKAN pekerja-pekerja pembersihan perlu sentiasa dijaga.

BENARLAH kata pepatah Melayu, disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga. Itulah yang berlaku kepada sektor pembersihan.

Disebabkan segelintir kontraktor tidak bertanggungjawab, rosak imej semua kontraktor pembersihan. Terbaharu seperti dilaporkan dalam Utusan Malaysia pada 19 Februari lalu di mana lebih 100 pekerja pembersihan di 19 sekolah di Sabak Bernam, Selangor tidak dibayar gaji selama empat bulan oleh dua kontraktor.

Berita seperti ini bukan sahaja membusukkan nama kontraktor pembersihan, bahkan menakutkan pekerja tempatan untuk bekerja sebagai pencuci.

Siapa yang hendak bekerja, kalau gaji tidak dibayar sehingga empat bulan, tidak ada faedah cuti tahun dan cuti sakit serta kebajikan mereka tidak dijaga?

Kita kerap menyalahkan kontraktor atas kegagalan tersebut. Persoalannya, siapa yang melantik kontraktor ini?

Masih banyak kontraktor yang bertanggungjawab, mampu memberikan perkhidmatan baik serta memelihara kebajikan pekerja mereka. Mengapa tidak terpilih?

Kebanyakan jabatan, agensi dan badan kerajaan memilih kontraktor berdasarkan kepada harga terendah atas alasan untuk menjimatkan perbelanjaan.

Pernahkah kita terfikir, adakah dengan harga yang ditawarkan kontraktor yang dipilih, mampu memberikan perkhidmatan berkualiti seperti yang diharapkan serta menjaga kebajikan pekerja mereka?

Jimatkah perbelanjaan jika perkhidmatan diberi tidak mencapai kualiti sepatutnya dan kebajikan pekerja terabai, tidak dibayar gaji, tidak diberi cuti tahun dan cuti sakit, tidak dicarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan lain-lain?

UNTUNG

Secara kasarnya, kos bagi seorang pekerja pembersihan adalah tidak kurang daripada RM1,900 sebulan jika menggunakan pekerja tempatan yang tidak memerlukan asrama dan pengangkutan untuk pergi dan balik kerja.

Jika menggunakan pekerja tempatan dari luar daerah atau pekerja asing yang sah, kosnya melebihi RM2,000 sebulan bagi seorang pekerja.

Gaji minimum semasa ialah RM1,200 sebulan dan dijangka naik sehingga RM1,500 sebulan sebelum hujung tahun ini.

Caruman KWSP, Perkeso dan lain-lain dianggarkan RM180 sebulan. Peruntukan cuti tahun dan cuti sakit, iaitu 22 hari setahun, berjumlah RM97.31.

Ini bermakna kos seorang pekerja adalah tidak kurang RM1,477.31. Ini tidak termasuk kos bahan kimia, perkakas dan peralatan, susut nilai mesin, pengurusan dan keuntungan kasar kontraktor, dianggarkan 25 peratus daripada harga keseluruhan kontrak.

Bermakna kos bagi seorang pekerja ialah RM1,969.74 manakala harga yang ditawarkan kontrak adalah di bawah RM1,900 seorang pekerja sebulan.

Untuk meraih sedikit keuntungan daripada harga di bawah kos, pekerja yang menjadi mangsa. Tidak diberi cuti tahun dan cuti sakit, tidak dicarum KWSP, Perkeso serta kebajikan diabaikan.

Sekiranya kontraktor lewat menerima bayaran, disebabkan kekurangan modal pusingan maka gaji pekerja tidak dibayar.

Kesan daripada amalan melantik kontraktor yang menawarkan harga terendah, ialah imej sektor pembersihan terjejas.

Seolah-olah kontraktor pembersihan khususnya bumiputera, tidak mampu memberikan perkhidmatan berkualiti dan menjaga kebajikan pekerja.

Pada masa sama, kontraktor yang mampu menyediakan perkhidmatan berkualiti serta menjaga kebajikan pekerja terus terpinggir dan akhirnya terpaksa beralih ke bidang lain.

Kedua-dua pihak, kontraktor dan pelanggan perlu menentukan harga munasabah bagi membolehkan kontraktor memberikan perkhidmatan berkualiti yang memenuhi standard ditetapkan dan hak serta kebajikan pekerja terjaga. – UTUSAN

NORUDDIN IDRIS

Presiden

Persatuan Kontraktor Perkhidmatan Pencucian Malaysia (MACC)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

More to explore