info@macc.org.my

TEL: 019-3158470 FAX: 03-40233105

Mon - Fri : 9:00 - 17:00 Sat - Sun : Tutup

KENAIKAN GAJI MINIMUM BEBAN KONTRAKTOR

KONTRAKTOR pembersihan tidak harus dibebankan dengan kenaikan kos yang mengejut. – GAMBAR HIASAN

SAUDARA PENGARANG,

SEBELUM ini, akhbar melaporkan syarikat kontraktor pembersihan dilantik Kementerian Pendidikan belum menerima bayaran tambahan akibat pelaksanaan perintah gaji minimum (PGM) 2019 dan 2020 sepertimana dijanjikan kerajaan.

Baru-baru ini pula, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 mengumumkan kerajaan akan melaksanakan kadar gaji minimum RM1,500 bermula Mei ini.

Setiap kali kenaikan gaji minimum berlaku, yang menjadi mangsa adalah kontraktor pembersihan.

Kontraktor diarah untuk membayar gaji minimum manakala pelanggan termasuk kerajaan dan agensinya sendiri enggan menyemak semula harga kontrak berdasarkan gaji minimum.

Kenaikan gaji minimum yang dipersetujui dua tahun lepas masih tertunggak sehingga hari ini. Akibatnya, kontraktor terpaksa membayar dahulu kenaikan gaji minimum pekerja. Ini menjejaskan aliran tunai kontraktor.

Mungkinkah ini yang menyebabkan kontraktor gagal membayar gaji pekerja sehingga empat bulan seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia pada 19 Februari lalu di mana lebih 100 pekerja pembersihan di 19 sekolah di Sabak Bernam, Selangor tidak dibayar gaji oleh dua kontraktor?

Setiap kali gaji minimum meningkat, kos-kos lain yang berkaitan dengan perbelanjaan tenaga kerja turut meningkat.

Apabila gaji pokok naik RM300, sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) majikan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Dana Pembangunan Sumber Manusia (PSMB), peruntukan cuti tahun dan cuti sakit pekerja serta lain-lain akan naik.

Ini bermakna kenaikan keseluruhan sebenar kos tenaga kerja ialah RM368.52, tidak termasuk kenaikan gaji lebih masa dan kenaikan menyeluruh gaji kakitangan pejabat dan kos lain-lain.

SINGAPURA

Bagi kontrak pembersihan bangunan, secara puratanya kos tenaga kerja ialah 75 peratus daripada harga keseluruhan kontrak.

Kenaikan 25 peratus gaji pekerja, iaitu daripada RM1,200 ke RM1,500 akan menyebabkan kos keseluruhan kontrak meningkat 18.75 peratus manakala keuntungan kasar kontraktor hanya 10 peratus.

Ini bermakna kontraktor akan menanggung kerugian sebanyak 8.75 peratus. Masalah timbul apabila kenaikan gaji minimum dikuatkuasakan secara mengejut dalam tempoh sebulan dua, manakala kebanyakan kontrak masih berjalan dengan kadar gaji lama.

Ini menyebabkan kontraktor terpaksa menanggung kenaikan gaji minimum manakala harga kontrak masih kekal di takuk lama.

Dalam perbincangan dengan Majlis Perundingan Gaji Negara, Persatuan Kontraktor Perkhidmatan Pencucian Malaysia (MACC) ada menyarankan supaya peruntukan kontrak kerajaan khususnya yang melibatkan tenaga pekerja ramai seperti perkhidmatan pencucian dan kawalan keselamatan perlu diselaraskan dengan kenaikan gaji minimum supaya tidak timbul isu tiada peruntukan untuk tujuan itu.

Kerajaan harus menetapkan gaji minimum untuk beberapa tahun akan datang sekurang-kurangnya setahun sebelum dikuatkuasakan seperti di Singapura.

Ini membolehkan kontraktor mengambil kira kenaikan gaji yang akan berlaku sekiranya kontrak melangkau tempoh peningkatan gaji minimum.

Kerajaan harus sedar bahawa kontraktor pembersihan bukan sahaja berperanan untuk memelihara kebersihan negara, tetapi juga menarik kemasukan pelancong dan pelaburan asing.

Bekas Menteri Pelancongan, Tan Sri Dr. Ng Yen Yen pernah menyebut: “Kebersihan dan penjagaan alam sekitar penting bagi Malaysia untuk menjadi destinasi pelancongan utama dunia.”

Sekiranya kontraktor pembersihan terus dibebankan dengan pelbagai masalah dan kenaikan kos mengejut, adalah sukar untuk kontraktor memainkan peranannya bagi menjaga kebersihan negara dengan berkesan.  – UTUSAN

NORUDDIN IDRIS, Pengerusi MACC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

More to explore