Dalam Mesyuarat Agung yang lepas ada ahli yang mempertikaikan mengapa yuran perlu dinaikkan sedangkan ahli persatuan tidak sampai satu peratus dari bilangan kontraktor yang ada. Saya tidak akan mengupas isu kenaikan yuran kerana ianya telah pun ditolak oleh majoriti ahli yang hadir dalam mesyuarat tersebut.
Isu yang akan saya sentuh ialah bilangan ahli yang kurang dari 1% dari bilangan kontraktor yang ada. Bagi saya yang lebih penting ialah kualiti bukan kuantiti. Tidak ada gunanya ahli yang ramai tetapi tidak boleh memberikan perkhidmatan yang berkualiti.
Ramai yang ingin menjadi ahli semata-mata untuk mendapatkan kontrak. Apatah lagi apabila terdapat organisasi seperti UTM, UTeM dan lain-lain yang menjadikan syarat keahlian dalam MACC untuk menyertai tender pembersihan. Itu sebab dari 400 lebih yang pernah mendaftar sebagai ahli, sehingga kini hanya separuh yang masih membayar yuran.
Saya pernah ditegur oleh ahli jawatankuasa apabila mencadangkan supaya syarat menjadi ahli diperketatkan. Saya tidak mahu kontraktor ‘fly by night’ diterima sebagai ahli dan kemudian merosakkan nama baik MACC, dengan culas membayar gaji pekerja, caruman KWSP, PERKESO dan PSMB dan tidak memberikan kualiti perkhidmatan yang sepatutnya. Bak kata pepatah Melayu, disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga.
Jika ahli bertanya ‘apa yang mereka dapat dengan menjadi ahli MACC?’, pelanggan juga akan bertanya ‘apa yang mereka dapat dengan memberikan kontrak kepada ahli MACC?’. Apakah jaminan bahawa ahli-ahli MACC akan memberikan kualiti perkhidmatan yang lebih baik dari bukan ahli? Apakah jaminan bahawa ahli-ahli MACC akan memelihara hak dan kebajikan pekerja-pekerjanya lebih baik dari bukan ahli?
Lebih memburukkan lagi keadaan jika ahli MACC sendiri gagal memberikan perkhidmatan yang berkualiti. Terjebak dengan isu pekerja tidak dibayar gaji, tidak mencarum KWSP, PERKESO dan PSMB dan pekerja tidak diberikan hak cuti sakit dan cuti tahun bergaji. Akibatnya MACC yang baharu hendak mendapat kepercayaan industri akan kehilangan kepercayaan tersebut dan di pandang rendah dan tidak bermaruah.
Bagi menjamin bahawa ahli-ahli MACC lebih bertanggungjawab dan berintegriti, kita per ketatkan syarat-syarat permohonan menjadi ahli tanpa menyekat orang baru menjadi ahli. Oleh sebab itu sekiranya pemohon tidak mempunyai kontrak pembersihan memadai jika dia pernah mengikuti mana-mana kursus pembersihan bagi membukti komitmennya dalam industri.
Kita juga telah mengadakan Majlis Ikrar Integriti MACC sempena mesyuarat agung yang lepas. Di samping itu kita pernah mengadakan program ‘Memperkasakan Ahli’, tetapi kurang sambutan dari ahli-ahli. Mungkin, kita perlukan menjadikannya syarat wajib; menyertai program tersebut’ sebelum keahliannya disahkan.
Untuk renungan bersama demi kebaikan industri pembersihan.